Sunday, 17 March 2013

ULASAN ARTIKEL- 1


 SEKOLAH BERKESAN
( berdasarkan artikel bertajuk “ Nine characteristics of high performing schools” oleh GS Shannon dan Blysma )
Sekolah berkesan boleh ditafsirkan sebagai sekolah yang mempunyai rekod pencapaian yang tinggi dalam peperiksaan awam walaupun mempunyai murid dari pelbagai status sosioeconomik dan  latarbelakang etnik. Bagaimanapun ramai yang merasakan aspek lain perlu juga dinilai sebelum melabel sesebuah sekolah itu sebagai berkesan. Antara aspek-aspek tersebut adalah  tahap disiplin murid, kepuasan bekerja dikalangan staf dan pembabitan pelajar dalam  aktiviti kokurikulum. Tetapi tidakkah kita sedari bahawa untuk mencapai rekod pencapaian yang tinggi, ia menuntut faktor-faktor yang lain untuk menyumbangkan tenaga dan  bergerak kearah objektif yang sama iaitu kecemerlangan pelajar. Kajian telah di lakukan di Amerika mengenai sekolah berprestasi tinggi dan dilaporkan oleh Shannon dan Blysma ( 2007 ) menunjukkan terdapat 9 karakteristik sekolah berprestasi tinggi iaitu:
1.       Fokus yang jelas dan dikongsi bersama
2.       Standard dan ekspektasi yang tinggi kepada semua murid.
3.       Kepimpinan sekolah yang berkesan.
4.       Kolaborasi dan komunikasi yang tinggi.
5.       Kurikulum, arahan dan penilaian selaras dengan standard kebangsaan.
6.       Pemantauan pembelajaran dan pengajaran  yang kerap.
7.       Pembangunan profesional yang terfokus.
8.       Sokongan dari suasana pembelajaran.
9.       Pembabitan yang tinggi oleh keluarga dan komuniti.

1.       Fokus yang jelas dan dikongsi bersama.
Kepimpinan pengetua yang berkesan mempastikan matlamat sekolah di rangka dengan teliti. Berdasarkan data yang dikumpul dengan sistematik, ia dapat di interpret dengan bijak dan perancangan masa depan dapat dibuat. Matlamat organisasi kemudiannya di terjemah dengan jelas kepada semua warga supaya ia dapat dihayati dan dikongsi bersama. Fokus utama sudah semestinya berpusat kepada pembelajaran dan pengajaran yang berkualiti.

2.       Standard dan ekspetasi yang tinggi kepada semua murid.
Tiada murid yang dipinggirkan dan setiap murid mempunyai potensi untuk di kembangkan. Dari itu standard dan ekspetasi yang tinggi diletakkan kepada semua murid untuk berjaya dengan cemerlang dan mempraktikkan nilai-nilai yang di ajar.

3.       Kepimpinan sekolah yang berkesan.
Tret kepimpinan pengetua memainkan peranan yang besar dalam mencorak iklim dan budaya sesebuah sekolah. Untuk menjalankan tanggungjawab dengan cemerlang, pemimpin sekolah perlu mempunyai beberapa ciri-ciri iaitu:
a.       memiliki keadaan fizikal yang sihat dan sesuai dengan tugasnya.
b.      berpengetahuan luas dan pintar pemikirannya.
c.        memiliki daya kerja dan semangat yang tinggi.
d.      gemar memikul tanggungjawab.
e.      bijak dan cepat membuat keputusan.
f.        menguasai prinsip perhubungan manusia dan teknik berkomunikasi
g.       mempunyai keyakinan dan kepercayaan yang teguh atas kemampuan sendiri.
h.      berlaku adil.
i.         menguasai emosi dan panjang akal
j.        kreatif dan luas pandangan.
k.       berani dan berkeyakinan.
Pengetua yang hebat adalah mereka yang dapat menggembeling sumber tenaga manusia kearah pencapaian matlamat organisasi dengan menggunakan kemudahan sepenuhnya secara kreatif.
4.       Kolaborasi dan komunikasi yang tinggi.
Kolaborasi dan komunikasi yang tinggi berlaku dalam semua peringkat sebagai contoh antara guru dan guru perlu wujud kolaborasi untuk perkongsian kemahiran dan pengetahuan terutamanya dikalangan guru baru dan lama. Hasil kolaborasi ini dapat dilihat apabila guru novis mempunyai keyakinan dan mampu menjalankan pembelajaran dan pengajaran yang berkualiti. Komunikasi yang baik juga wujud antara guru dan murid mewujudkan suasana pembelajaran yang harmonis. Komunikasi yang baik antara pengetua dan warga  sekolah juga akan menyumbang kepada kecemerlangan sekolah kerana hubungan interpersonal yang mesra memudahkan guru memberi kerjasama, menerima teguran dan memperbaiki kesilapan mendorong pembelajaran tanpa disedari.

5.       Kurikulum, arahan dan penilaian selaras dengan standard kebangsaan.
Program kurikulum dan arahan di selaras dan dipantau oleh pengetua secara berterusan untuk mempastikan ia mencapai standard kebangsaan. Penilaian yang dilakukan terhadap murid juga mencapai standard dan selaras dengan apa yang telah digariskan oleh kementerian pendidikan. Kurikulum  kebangsaan dapat diterjemahkan dan dilaksanakan selari dengan  matlamat yang mahu dicapai.

6.       Pemantauan pembelajaran dan pengajaran  yang kerap.
Pemantauan yang kerap oleh pengetua adalah untuk mempastikan dasar-dasar dan arahan yang diberikan dilaksanakan dengan betul. Ia juga dapat memberi maklumat mengenai kelemahan dan kekuatan pembelajaran dan pengajaran yang perlu diketahui dan diambil tindakan yang bersesuaian untuk penambahbaikkan. Penyeliaan klinikal dilakukan lebih bersifat membimbing bukan untuk mencari kesalahan guru.
  
7.       Pembangunan professional yang terfokus.
Pembangunan staf yang dirancang dengan fokus kepada peningkatan profesionalisme berterusan untuk melengkapkan staf dengan kemahiran dan pengetahuan yang terkini. Guru juga digalakkan melanjutkan pelajaran sehingga keperingkat yang lebih tinggi dengan membuka peluang-peluang yang ada untuk meningkatkan keupayaan dari segi ilmu pengetahuan dan kemahiran selari dengan era global masakini. Pengetua sebagai pemimpin menunjukkan  suri teladan dengan penglibatan secara langsung dalam program peningkatan ilmu serta merangsang percambahan ilmu di kalangan guru-guru. Budaya melakukan kajian juga ditanamkan dikalangan warga sekolah.

8.       Sokongan dari suasana pembelajaran.
Suasana pembelajaran yang kondusif akan meningkatkan motivasi murid untuk belajar dan berjaya. Untuk mewujudkan suasana ini, pengetua perlu menjadikan sekolah sebagai organisasi yang selamat dimana masalah disiplin dapat dibendung dan terkawal. Selain dari itu prasarana yang lengkap akan memudahkan p&p dijalankan dengan baik. Semua murid mendapat peluang yang sama dalam program kecemerlangan akademik dan kokurikular.

9.       Kerjasama yang erat oleh keluarga dan komuniti.
Dengan menjalinkan hubungan yang baik antara rumah dan sekolah dapat mempastikan maklumat mengenai anak jagaan sentiasa dikongsi bersama. Sokongan dari ibubapa dalam program sekolah boleh ditunjukkan melalui penglibatan mereka secara terus dengan menyumbang kepakaran, masa dan wang.

Kesimpulannya, kesemua karakteristik diatas adalah saling kait mengait dan memerlukan pusingan tindakan yang berterusan dan di jalankan secara sistematik. Untuk menjadikan sekolah itu berkesan ia memerlukan masa dan komitmen yang berterusan. Pendekatan untuk peningkatan kualiti  kesemua elemen diatas boleh diambil dari tiga tahap iaitu tahap pelajar, tahap guru dan tahap sekolah. Bagaimanapun kesemuanya perlu berjalan secara sistemik untuk mempastikan objektif organisasi tercapai. Jika anda seorang guru atau pengetua, artikel ini boleh dijadikan sebagai satu panduan untuk menilai dan melakukan refleksi terhadap organisasi sendiri. Walaupun kajian ini dilakukan di sekolah-sekolah di Amerika, mungkin terdapat beberapa perkara yang boleh kita ambil dan di adaptasi di sekolah dinegara kita.

Rujukan:
1.    1.    Shannon, G.S & Bylsma P. ( 2007 ) Nine Characteristics of High Performing School: a research based resource for schools and districts to assist and improving student learning ( 2nd Ed) Olympic, WA;OSP
www.k12.wa.us/
2.  2. Jamelaa Bibi , Abdullah Amalan Kepimpinan instruksional dalam Kalangan Pengetua Sekolah Menengah di negeri Pahang: Satu Kajian Kualitatif.
www.iab.edu.my

No comments:

Post a Comment