Wednesday, 8 May 2013

ULASAN ARTIKEL 3


MULTI-LEVEL MODELING OF PRINCIPAL AUTHENTICITY AND TEACHERS’ TRUST AND ENGAGEMENT.

WANG, CHUANG; BIRD, JAMES J
ACADEMY OF EDUCATIONAL LEADERSHIP JOURNAL 15.4 ( 2011 ): 125-147

Rumusan.
Kajian ini dilakukan untuk melihat kepimpinan autentik pengetua dan hubungannya dengan tahap kepercayaan dan penglibatan guru. Kajian ini dijalankan di 60 buah sekolah di Amerika  dan melibatkan 917 orang guru sebagai responden. Kaedah  multi-level structural equation modeling telah digunakan untuk memproses data yang dikumpulkan. Hasil kajian mendapati terdapat korelasi koefisiensi dalam tiga konstruk utama iaitu autentik, kepercayaan dan penglibatan guru. Dari model structural equation  menunjukkan antara sekolah dan dalam sekolah terdapat hubungan yang positif dan signifikan antara kepimpinnan autentik pengetua dan tahap kepercayaan dan penglibatan guru yang tinggi. Dapatan menunjukkan sikap pengetua yang lebih terbuka dan jujur akan meningkatkan kepercayaan guru terhadap pengetua dan dapat mewujudkan tahap semangat kekitaan dan penglibatan guru yang tinggi. Hasil dapatan ini juga konsisten dengan kajian-kajian terdahulu dalam bidang perniagaan. Guru-guru akan memberi respon yang positif terhadap 4 komponen kepimpinan autentik iaitu kesedaran kendiri yang tinggi, hubungan yang telus, proses menyeimbang dan integrity moral.

Ulasan.
Kajian ini menggunakan multi-level structural equation modeling ( SEM ). Model ini adalah suatu teknik modeling statistic yang bersifat sangat cross-sectional, linear dan umum. Termasuk dalam SEM ini ialah analisis factor, analisis jalur dan regressi. Modelling SEM ini dikatakan sesuai dengan kajian ini kerana ia menggunakan persampelan yang besar iaitu 917 responden. Walaupun jumlah sampel yang dicadangkan dalam penggunaan model ini hanyalah 200 – 400 responden sahaja tetapi jika inginkan hasil semakin tepat sebaiknya sampel lebih besar dari 400. Model SEM ini adalah sesuatu yang baru bagi saya dan masih ada beberapa perkara yang tidak jelas walaupun pembacaan mengenai model ini telah dilakukan. Apa yang banyak diperkatakan mengenai model ini ialah ketepatan data yang diperolehi hasil dari proses ini.
            Kajian ini menarik perhatian saya untuk lebih mendalami apa itu kepimpinan autentik. Seperti yang telah disebut diatas, kepimpinan autentik mempunyai 4 komponen utama. Hussein Mahmood mendefinisikan kepimpinan autentik sebagai kepimpinan yang mengutamakan etika dan moral dimana kepimpinan boleh menentukan “apa yang baik dan berfaedah untuk semua”. Manakala Shamir & Eilam pula mengatakan bahawa kepimpinan autentik ialah pemimpin yang mempamerkan  kepimpinan yang tulen dan tidak meniru pemimpin lain, beliau juga tidak menipu ketika memimpin dan bertindak berdasarkan kepercayaan dan nilai yang dipegang.
            Pemimpin autentik boleh juga dikategorikan sebagai seorang pemimpin moral dan beliau cuba memahami diri sendiri dan cuba memperbaiki kelemahan yang ada. Beliau juga sanggup mengakui kesalahan yang dilakukan dan jujur terhadap diri sendiri dan orang bawahan. Pemimpin ini juga berani untuk menyatakan perkara sebenarnya.
            Ciri-ciri kepimpinan autentik adalah sikap dan tingkahlaku yang dihormati dan disanjungi oleh semua golongan. Ia adalah ciri-ciri yang memenuhi hasrat masyarakat yang inginkan pemimpin yang boleh dipercayai dan memenuhi kekosongan dunia hari ini. Ciri-ciri tersebut boleh dipelajari dan dibentuk. Kajian ini membuktikan bahawa terdapat korelasi hubungan antara kepimpinan autentik dan hasil positif kepada organisasi. Pemimpin autentik membina kepercayaan guru berdasarkan personaliti dan prinsip/kepercayaan yang dipegang. Apabila pemimpin mempunyai ciri-ciri tersebut, dengan sendirinya guru-guru akan memberi respon yang positif dengan cara memberikan komitmen yang tinggi dan melibatkan diri dalam semua aktiviti sekolah dalam usaha membantu mencapai matlamat. Respon yang sebegini boleh diinterpretasikan juga sebagai guru-guru mempunyai tahap kepuasan bekerja yang tinggi.
            Dalam konteks negara kita, kepemimpinan autentik boleh juga berlandaskan agama. Sebagai contoh, pemimpin Islam boleh mengamalkan sikap/tingkahlaku yang sejajar dengan apa yang disarankan dalam agama Islam sebagai contoh jujur, adil  dan suka membantu. Pemimpin autentik di Malaysia seharusnya mempunyai stail kepimpinan sendiri kerana budaya dan iklim organisasi disini mempunyai ciri-ciri yang berbeza dengan ciri yang ada dibarat. Perbezaan itu banyak dipengaruhi oleh nilai-nilai agama dan budaya timur yang lembut tetapi  kadangkala agak beremosi dan terlampau sensitif. Bagaimanapun pemimpin autentik yang sebenar mampu membentuk budaya kerja yang cemerlang kerana ia menjadi contoh teladan oleh pekerja dalam menjalankan tanggungjawab.
 
            Pemimpin autentik agak sukar dijumpai tapi ia tidak mustahil ditemui. Ini adalah pandangan peribadi saya berdasarkan pengalaman saya bekerja di bawah 8 orang pengetua sepanjang 19 tahun berkhidmat dengan MARA. Daripada 8 orang, hanya seorang yang dapat memenuhi hampir kesemua ciri-ciri dalam keempat-empat komponen kepimpinan autentik. Sama seperti yang ditunjukkan dalam hasil dapatan kajian, guru-guru memberi respon yang positif terhadap stail kepimpinan beliau.  Manakala ada juga sesetengah pengetua yang cuba menjadi pemimpin autentik  dengan cara mengubah apa yang telah dijalankan oleh pengetua sebelumnya untuk menunjukkan beliau mempunyai stail kepimpinan yang tulen dan tersendiri. Ini tidak wajar dilakukan kerana perkara yang telah terbukti berkesan tidak perlu dibuang tetapi ia hanya perlu ditambahnilai sahaja.
            Kesimpulannya, kepercayaan adalah komponen kritikal dalam keberkesanan sekolah, manakala penglibatan guru dalam membuat keputusan sebagai contohnya akan meningkatkan efikasi guru dalam pembelajaran dan pengajaran yang berkesan. Pemimpin autentik akan menunjukkan satu contoh model pekerja berkesan dengan mempamerkan sikap dan tingkahlaku yang ada padanya.
           


RUJUKAN
1.       Authentic Leadership http://www.jonathansarwono.info

No comments:

Post a Comment